Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Wednesday, 01 December 2010 02:49

LATAR BELAKANG

Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja telah ditubuhkan di Kem Batu Gajah, Perak pada 28 Mac 1966. Penubuhan batalion ini adalah berlanjutan kepada kegiatan-kegiatan Penganas Komunis (PK) yang kian meningkat di seluruh Semenanjung Malaysis (dan di Negeri Sarawak) pada awal tahun 1960-an. Sepertimana tertubuhnya batalion-batalion Infantri Renjer yang lain (khususnya, 1 RRD, 2 RRD dan 3 RRD), Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja ditubuhkan untuk menentang musuh negara, iaitu anggota-anggota ataupun pengganas-pengganas yang menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dan seterusnya menjaga keamanan negara ini. Tidak dinafikan bahawa penubuhan batalion ini diwujudkan pada waktu ataupun era ‘kegemilangan’ pihak Komunis dan oleh yang demikian sudah pasti batalion ini akan menempuhi pelbagai cabaran dan halangan sepanjang masa kewujudannya. Perlu dimaklumkan di sini bahawa Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, bukan sahaja dari aspek penugasan gerakan/operasi malahan dari sudut latihan dan pengurusan sumber manusia serta pentadbiran. Kegigihan dan ketangkasan batalion ini menentang pihak Komunis juga telah sedikit sebanyak membantu Tentera Darat secara amnya untuk menghapuskan perjuangan PKM dan seterusnya menyerahkan diri pada bulan Disember 1989.

Penubuhan awal batalion ini terdiri daripada anggota-anggota dari ’Singapore Infantry Regiment’, ‘Royal Reconnaissance Regiment’ dan juga daripada lain-lain unit infantri yang telahpun wujud pada masa tersebut. Namun begitu, sejumlah besar daripada anggota Rejimen ini terdiri daripada soldadu muda keluaran Pusat Latihan Rekrut (PLR) yang berpengkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Pada dasarnya, cara penubuhan batalion ini agak berbeza daripada penubuhan batalion-batalion Renjer yang lain terdahulu daripadanya. Semua peruntukan kewangan untuk latihan, kelengkapan dan segala perbelanjaan darihal penubuhan batalion ini adalah dari Kerajaan Malaysia. Justeru itu, tidak dinafikan hasrat Tentera Darat (TD) secara khasnya dan Kerajaan Persekutuan secara amnya didalam penubuhan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja , merupakan antara agenda terpenting pada masa tersebut. Ini adalah selaras dengan perkembangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai satu organisasi atau agensi Kerajaan yang pesat membangun demi untuk mencapai misi serta wawasan negara.

Selain daripada anggota-anggota dari ‘Singapore Infantry Regiment’, ‘Royal Reconnaissance Regiment’, anggota-anggota dari Rejimen Renjer Diraja yang lain serta rekrut keluaran PLR (kini PUSASDA), seramai lima orang pegawai dari Tentera British (British Army) telah dipinjamkan untuk membantu di dalam penubuhan batalion ini. Kesemua Pegawai British ini telah dipertanggungjawabkan untuk membantu, mendidik serta mengawasi penubuhan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, bersama anak-anak tempatan yang telah menyertai batalion ini. Perlu dimaklumkan di sini bahawa penyertaan pegawai-pegawai British bukan semata-mata memperkecilkan ataupun merendahkan keupayaan/kebolehan anggota kita, malahan mereka dilihat sebagai ‘professional advisers’ kepada kita. Pegawai Memerintah yang pertama bagi batalion ini ialah Leftenen Kolonal Abdul Latiff bin Hussain dan antara personaliti pegawai-pegawai yang telah menjadi asas dalam penubuhan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja adalah seperti berikut:

* Pegawai TD Malaysia
o Mejer Lakhbir Singh Gill
o Kapten (KM) Hitam bin Mohd Nor
* Pegawai TD British
o Major G.S. Farrant
o Major J.P. Growse
o Major P.B.C.Hoppe
o Captain J.M.B.Westing
o Lieutenant J.P.Rand

Tiga bulan setelah penubuhannya, Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja hanya memperolehi kekuatan untuk mengisi perjawatan Kompeni Markas dan sebuah Kompeni Repal sahaja. Pengambilan rekrut pertama bagi Kompeni A yang telah menamatkan latihannya pada 27 Ogos 1966, manakala pengambilan rekrut kedua untuk Kompeni B yang telah menamatkan latihannya pada 12 Nov 1966. Pengambilan rekrut bagi Kompeni C dan Kompeni D (kini Kompeni Bantuan), telah dilaksanakan pada tahun seterusnya (iaitu 1967). Batalion ini diistiharkan ke taraf operasi (operational status) hampir setahun dari tarikh penubuhannya. Pengistiharaan ini telah dilakukan oleh Leftenen Jeneral Tan Sri Abd Hamid bin Bidin selaku Ketua Turus Tentera Darat di Padang Kawad Kem Suvla Lines (kini Kem Syed Putra), Ipoh pada 6 Feb 1967.

LAMBANG DAN COGANKATA PASUKAN


Batalion ini menggunakan warna biru melambangkan yang paling cekal dan tenang. Cogankata asal pasukan adalah "Biar Putih Tulang" yang mana kemudiannya telah dijadikan cogan kata Rejimen Renjer Diraja. Walau bagaimanapun semenjak bulan Disember 1965, cogankata tersebut telah digantikan oleh pihak Urusetia Rejimen Renjer Diraja dengan yang baru, iaitu ‘AGI IDUP AGI NGELABAN’. Cogankata ini telah menjadi cogankata kesemua batalion di dalam Rejimen Renjer Diraja. Bagi menghadapi segala cabaran di dalam alaf baru, batalion ini telah mewujudkan satu cogan kata tersendiri, yang berbunyi ‘BE THE BEST’ atau ‘JADI YANG TERBAIK’. Cogan kata ini bertujuan untuk memupukkan semangat serta keazaman untuk menjadi yang terbaik di dalam apa jua penugasan ataupun aktiviti yang diamanahkan kepada batalion ini.

PENGANUGERAHAN PANJI – PANJI REJIMEN

Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja telah dianugerahkan dengan Panji-panji Rejimen oleh DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer pada 25 Oktober 1980 bertempat di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. Pegawai yang diberi penghormatan sebagai Pegawai Panji-panji adalah Lt M Hamzah bin Mohd Noor.

PERTUKARAN PANJI – PANJI REJIMEN

Pada 26 Mei 2007, pasukan sekali lagi terlibat dalam pertukaran Panji-panji Rejimen yang baru setelah 27 tahun dianugerahkan Panji-panji Rejimen pada 25 Okt 1980. Seramai 14 pegawai dan 197 LLP yang diketuai oleh Pegawai Memerintah ketika itu iaitu Lt Kol Hj Nor Azdha bin Hj Che Man terlibat dalam pertukaran Panji-panji Rejimen ini yang dilakukan di Stadium Utama, Kangar, Perlis. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin IbniAl-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail, Raja Negeri Perlis Indera kayangan selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pertukaran panji-panji tersebut dalam upacara yang gemilang.Kapt Yud Azurha bin Jaafar (3011125) diberi penghormatan membawa Panji-panji lama manakala Lt M Shamsul Rizal bin Rozamin (3009066) telah ditugaskan untuk mengusung panji-panji baru dan dibawa mengarak di hadapan para hadirin dan di hadapan batalion.

LAGU PASUKAN

Nama lagu Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja ialah ‘PANTANG UNDUR’. Ia merupakan sebuah lagu yang mempunyai irama dan melodi yang sungguh menarik serta ertikata yang memberangsangkan. Senikata yang dituliskan melambangkan kegigihan dan kewibawaan batalion ini di dalam menghadapi apa jua tugas ataupun cabaran yang diamanahkan kepadanya. Sebenarnya lagu pasukan ini ialah ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ yang digubahkan oleh Leftenan Kolonel Wan Nordin bin Wan Mohamad, iaitu Pegawai Memerintah yang kelima. Namun lagu tersebut telah dipilih sebagai lagu Rejimen Renjer DiRaja dan lagu ‘Pantang Undur’ telah digubahkan sekali lagi oleh Leftenan Kolonel Wan Nordin sebagai penggantinya. Senikata lagu tersebut ditulis oleh Drum Mejar pada masa tersebut. Akan tetapi nama Drum Mejar tersebut tidak dapat dikenalpasti. Tarikh sebenar tidak dapat dikenalpasti tetapi dijangkakan bahawa lagu ini telah dicipta pada tahun 1976/1977.

“PANTANG UNDUR”

Teriak gempur pahlawan pasukan
Rejimen keempat Renjer
Bergema gemuruh di bandar dan hutan
Agi Idup Agi Ngelaban

Teguhlah iman perajurit sekalian
Semangat yang gigih di medan
Tak luntur dek panas tak lekang dek hujan
Bagai gunung tidak bergoncang

Dari itu rakan-rakan sekalian
Gunakanlah muslihat medan
Agar tercapai segala seruan
Biar putih tulang jangan putih mata

Bersatu kita dalam perjuangan
Hapuskan musuh negara
Biarpun terkorban pertiwi dibela
Berjaya Rejimen Renjer kita

Last Updated on Wednesday, 12 September 2012 01:45
 
Banner
Copyright © 2014 Portal Rasmi Rejimen Renjer DiRaja. All Rights Reserved.
Urusetia Rejimen Renjer Diraja, Jabatan Arah Infantri, Markas Tentera Darat, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, 50634 Kuala Lumpur

Bancian

Nilai Laman Ini
 

Statistik

Pautan Luar