Home SAF KEPAHLAWANAN Pingat Panglima Gagah Berani (PGB)
Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Wednesday, 01 August 2012 01:46

PENERIMA PINGAT GAGAH BERANI (PGB)
DARI REJIMEN RENJER DIRAJA

Pingat Gagah Berani (PGB) adalah merupakan pingat keberanian kedua tertinggi dalam senarai pingat keberanian persekutuan. Pingat ini dizahirkan pada 29 Jul 1960 dan diwartakan pada 11 Ogos 1960. Pingat ini dikurniakan kepada mereka yang menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa sewaktu menghadapi musuh. Anugerah ini boleh dikurniakan kepada seseorang walaupun telah meninggal dunia.

Sejak diwartakan, seramai 97 individu telah menerima pingat ini dimana 73 daripadanya adalah dari Angkatan Tentera Malaysia dan selebihnya daripada PDRM. Daripada angka penerima ATM, 23 adalah daripada Rejimen Renjer Diraja, RAMD (30), RGK (8), KAD (7), KRD (1), TUDM (3) dan RAJD (1).

Berikut disenaraikan ringkasan kejayaan pertempuran yang dialami oleh anggota Rejimen Renjer Diraja sehingga melayakkan mereka mendapat pengiktirafan keberanian yang menjadi kebanggan pasukan keselamatan negara ini.

 

Kapten Maurice Shye Choon (200057)


Kapten Maurice Lam Shye Choon, semasa berkhidmat dalam Kor Amror Diraja, adalah seorang anggota pasukan yang berkhidmat di Congo di bawah Panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu bersama dengan pasukan-pasukan tertera dari negara-negara lain semasa berlakunya krisis di Congo.

Pada tahun 1963, semasa beliau bertugas di Kindu, pemberontak-pemberontak Congo telah cuba menyerang dan mengepung Wisma Perwira untuk menangkap pegawai Tentera Udara Itali. Dalam insiden ini Kapten Maurice Lam Shye Choo telah mempamerkan sifat-sifat kepimpinan dan keberanian yang tidak berbelah bagi demi melindungi nyawa dan keselamatan orang-orang di bawah jagaannya. Beliau telah mematahkan niat pemberontak-pemberontak tersebut dan menyelamatkan pegawai-pegawai Tentera Udara Itali tersebut. Beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) pada 03 Jun 1964.

Kapten Maurice Lam Shye Choon PGB kemudiannya di tukarkan ke Rejimen Renjer Diraja dan kini bersara dari Angkatan Tentera Malaysia dalam pangkat Kolonel.


Leftenan Muda David Fu Chee Ming (200772)


Leftenan Muda David Fu Chee Ming adalah Ketua Platun dari Platun Kelapan Kompeni  C Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja yang telah ditugaskan dan ditempatkan di Tanah Hitam, Perak bagi tujuan menjejak dan memusnahkan musuh di kawasan tersebut. Pada 27 Ogos 1970, platun beliau telah bertempur dengan sekumpulan musuh yang memasuki kawasan tersebut. Dalam pertempuran hebat yang berlarutan selama tujuh jam, beliau dan kumpulannya berjaya membunuh seramai 4 orang musuh dan mencederakan ramai musush-musuh yang lain. Beliau dan platunnya juga berjaya mematahkan serang balas yang dianggarkan berkekuatan seramai 70 orang tanpa sebarang kecederaan kepada anggota-anggta platunnya.

Leftenan Muda Davit Fu Chee Ming PGB telah menamatkan perkhidmatannya dari Angkatan Tentera dengan pangkat Kapten.


Mejar Ismail bin Salleh (12171)


Mejar Ismail bin Salleh yang bertugas di Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja telah diarahkan untuk menjalankan Operasi Badak di Kawasan Pelam Estate, Klian Intan, Perak setelah mendapat maklumat bahawa sekumpulan Pengganas telah menyusup masuk ke Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand. Pada 23 Ogos 1970 jam 3 pagi, Mejar Ismail mengetuai Kompeninya bersama Platun kelapan dan kesembilan memasuki kae kawasan Tanah Hitam bagi tujuan menyekat kemaraan pihak musuh. Pada jam 4 petang hari tersebut, platun kelapan telah bertempur dengan sekumpulan pengganas. Dalam berbalas tembakan tersebut, seramai 4 orang musuh telah terbunuh.

Akibat dari itu, sebahagian dari kumpulan musuh telah berundur. Bagaimanapun beberapa minit kemudian musuh mula menyerang balas. Pada masa yang sama Mejar Ismail bersama platun Kesembialn juga menghadapi serangan dari kumpul musuh yang lain. Keadaan yang meruncing pada memaksa beliau mendapatkan bantuan tembakan meriam melalui Markas Batalionnya yang bertempat di Kem Klian Intan. Beliau telah berjaya mengepung musuh-musuh tersebut sementara menanti bantuan bedilan meriam. Sementara menanti, Platun Kesembilan berjaya membunuh seorang musuh dan mencederakan beberapa yang lain. Setalah menerima bantuan bedilan meriam, beliau mengarahkan kumpulannya untuk melepaskan tembakan kearah musuh-musuh yang telah dikepung. Kumpulan musuh tersebut adalah dianggarkan seramai 70 orang dilengkapi dengan senjata automatik dan bahan letupan. Pertempuran tersebut berlanjutan lebih kurang tujuh jam  dan akhirnya serangan tersebut berjaya dipatahkn. Pertempuran hebat ini telah berjaya mempamerkan sifat kepimpinan Mejar Ismail yang tabah dan cekal di medan pertempuran.

Mejar Ismail bin Salleh PGB ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja. Beliau berkhidmat dengan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja semasa batalion ini baru ditubuhkan. Beliau kini telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Kolonel.


Leftenan Muda Baharin bin Abd Jalli (410560)


Leftenan Muda Baharin bin Abd Jalil adalah Ketua Platun di Kompeni A, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja. Beliau telah ditugaskan mengendalikan tempat-tempat sekatan di sekitar Kampung Goebilt dalam Operasi Hentam. Pada 12 Mac 1971, dua orang pengganas telah menemui penduduk kampung bagi mendapatkan bantuan makanan. Orang-orang kampung yang sangat bencikan komunis sebaliknya telah menyampaikan maklumat tersebut kepda Pasukan Keselamatan mengakibatan seorang dari pengganas tersebut dapat ditawan. Ekoran dari itu, Leftenan Muda Baharin memecahkan platunya kepada kumpulan-kumpulan kecil.

Semasa rondaan tersebut, beliau dan 901111 Renjer Lan anak Gima telah mengesan sekumpulan musuh yang berkekuatan lebih dari sepuluh orang. Satu pertempuran sengit telah berlaku yang mana seramai 13 orang musuh telah berjaya dibunuh oleh mereka.

Leftenan Muda Baharin bin And Jalil PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Mejar.


901111 Renjer Lan anak Gima


Renjer Lan anak Gima adalah bersama kumpulannya yang dipimpin oleh Leftenan Muda Baharin bin Abd Jalil semasa melakukan penjejakan dan menggempur sekumpulan 14 orang musuh di operasi tersebut. Sebelumnya beliau bersama-sama kumpulannya telah berjaya menangkap seorang musuh yang cuba mendapatkan bantuan makanan dari sebuah kampung berhampiran. Dalam pertempuran menentang musuh-musuh tersebut, Renjer Lan anak Gima telah menunjukkan keperwiraannya membantu ketua platunnya menggempur kedudukan musuh. Renjer Lan anak Gima dengan beraninya tanpa menghiraukan hujahan peluru-peluru musuh, beliau bersama-sama Leftanan Mudann Baharin telah melakukan tembakan ke arah musuh hingga dapat membunuh 13 daripada 14 orang musuh yang ditemui oleh mereka.

Renjer Lan anak Gima telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Koperal setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.



Leftenan Muda Kassim bin Abdul Kadir (410327)


Leftanan Muda Kassim bin Abdul Kadir telah mengetuai Platun Kedua Kompeni A Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja semasa Operasi Radak dilancarkan di Kawasan Bukit Besar, Kulim, Kedah pada 14 Mei 1971. Semasa beliau dan platunnya mara ke sebuah bukit, beliau telah kedengaran satu das tembakan dan jeritan dari kumpulan Perisikan Tentera yang mana mereka telah diserang. Tanpa melenggahkan masa, beliau dan platunnya berkejar ke tempat kejadian. Setelah mengesahkan kedudukan musuh, beliau seterusnya melancarkan serangan. Di atas ketangkasan dan keberaniannya, beliau dan beberapa anggota palatunnya telah berjaya membunuh seramai 5 orang musuh. Beliau juga berjaya merampas sebilangan senjata dan kelengkapan musuh tanpa mengalami sebarang kecederaan pada pihak sendiri.

Leftenan Muda Kassim bin Abdul Kadir PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Leftenan Kolonel.


929393 Lans Koperal Mering anak Imang


Pada 14 Mei 1971 semasa Platun Kedua Kompeni A Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja menyerang kedudukan musuh, beliau telah bertindak tegas dan berani dalam mengempur dan menyerang musuh-musuh tersebut. Beliau dan Ketua Platunnya Leftenan Muda Kassim bin Abdul Kadir telah merangkak merapati ke tempat musuh. Dalam kejadian tembak-menembak berlaku dan beliau dan Ketua Platunnya bangun untuk menyampaikan arahan kepada platunnya, Lans Koperal Mering anak Imang sengan penuh semangat telah memberikan tembakan perlindungan dan menundukkan musuh dan menyelamatkan ketua platunnya dari dihujani peluru-peluru musuh. Diatas tindakan berani dan kegigihannya, kumpulan beliau telah berjaya membunuh seramai 4 orang musuh di tempat kejadian dan menemui satu lagi mayat musuh di tempat berhampiran.

929939 Lans Koperal Mering aak Imang telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Sarjan setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.


929223 Renjer Bajau anak Lading


Renjer Bajau anak Lading adalah bersama kumpulan sepuluh orang yang diketuai oleh Kapten Mohan Chandran a/l Vellayathan semasa menjalankan misi menjejaki kedudukan musuh di operasi khas pada 3 Jun 1971. Beliau juga seorang anggota peninjau bagi pasukannya. Setelah beberapa hari menjejaki kesan-kesan musuh, pada 13 jun 1971 kumpulan mereka telah disambut dengan tembakan tanpa disedari mereka telah menghampiri ke kawasan pertahanan musuh.

Setelah ditembak bertalu-talu, mereka telah berpecah kepada dua kumpulan dimana beliau bersama-sama dengan kumpulan Kapten Chandran. Dari awal lagi apabila mereka ditembak, Renjer Bajau telah menunjukkan sifat kegigihannya dengan menukarkan senjatanya dari ‘Sub Machine Gun’ kepada ‘Light Machine Gun’ dari seorang rakannya. Beliau bersama Kapten Chandran dan kumpulannya teah melepaskan tembakan dan menyerang kearah kedudukan musuh. Oleh kerana tidak dapat mematahkan tembakan musuh, beliau sendiri terpaksa berundur mencari perlindungan.

Tanpa menghiraukan keselamatan dirinya sendiri walaupun dihujani oleh peluru-peluru musuh semasa berundur, beliau mengambil risiko mengheret Ketua Kumpulannya, Kapten Chandran yang terkena tembakan ke tempat selamat. Bagaimanapun Kapten Chandran menghembuskan nafasnya yang terakhir sejurus selepas itu.

Renjer Bajau anak Lading telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Koperal setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.


901756 Sarjan Joseph Mileng anak Kilong


901756 Sarjan Joseph Mileng anak Kilong dari Kompeni A Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja telah ditugaskan untuk menunggu ulang bekal catuan di satu tempat yang ditetapkan di kawasan Sungai Kudup, Sarikei, Sarawak. Pada 28 Oktober 1971, beliau bersama beberapa anggotanya berlepas untuk menunggu ulang belak tersebut di tempat yang telah ditetapkan. Sebagai kebiasaannya apabila sampai di tempat yang dimaksudkan, beliau sebagai ketua terlebih dahulu mengesahkan kedudukannya. Setelah berpuas hati, beliau mengarahkan anggotanya untuk menunggu dan berteduh  di sebuah pondok tinggal yang kebetulan tersedia di situ.

Sebaik sahaja mereka tiba di pondok tersebut, dengan tidak disangka-sangka mereka telah disambut dengan letupan dari emab butir bom jerangkap samar. Pada masa yang sama mereka juga menerima hujanan tembakan senjata. Pertempuran berlaku dan mereka mengetahui yang mereka teah terperangkap dalam tembakan musuh beliau dengan bersemangat bersama dengan 2 anggotanya yang lain dengan perlindungan tembakan dari rakan-rakan dan menggunakan bom-bom tangan telah menyerbu dan mengempur ke arah kedudukan musuh.

Walaupun kumpulan musuh ternyata lebih ramai dari kumpulannya tetapi diatas semangat keberanian beliau dan 2 anggotanya telah menyebabkan beberapa orang musuh mengambil keputusan berundur sambil mengheret rakan-rakan mereka yang cedera. Melihatkan musuh cuba berundur, Sarjan Meling dan anggota-anggotanya terus mara walaupun masih dihujani peluru dan letupan dari bom-bom tangan musuh. Dalam peristiwa tersebut, beliau berjaya menembak mati 3 orang musuh termasuk seorang wanita.

Sarjan Joseph Mileng anak Kilong PGB kini bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Pegawai Waren 2 setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.

901289 koperal Dajai anak Anggie


901289 Koperal Dajai anak Anggie adalah bersama kumpulan yang diketuai oleh 901756 Sarjan Joseph Mileng anak Kilong menunggu ulangbekal di kawasan Sungai Kedup, Sarikei, Sarawak semasa kejadian ini berlaku.

Pada 28 Ogos 1971, ketika Koperal Dajai dan rakan-rakan cuba berteduh disatu pondok yang telah ditinggalkan, tiba-tiba beberapa letupan telah berlaku disusuli pula dengan hujanan peluri dari tembakan musuh. Pertempuran berlaku dengan begitu sengit. Mengetahui mereka telah diperangkap dalam satu serangan musuh, beliau dengan beraninya telah meluru ke arah musuh. Beliau terus melepaskan tembakan demi tembakan dan dengan menggunakan sepenuh tenaganya melontar bom-bom kearah musuh.

Dengan dibantu oleh seorang lagi rakannya, beliau terus mengikuti jejak ketuanya Sarjan Meling, meluru dan menyerbu kearah musuh. Kegigihanya dan keberanian yang ditunjukkan oelh beliau dan rakan-rakan telah menyebabkan musuh berundur. Dari pertempuran tersebut, 7 orang musuh termasuk seorang wanita telah berjaya dibunuh. Beliau sendiri telah membunuh tiga darinya.

Koperal Dajai anak Anggie PGB kini telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Sarjan setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.

901055 Renjer Unggek anak Atin


Renjer Unggek anak Atin adalah bersama kumpulan yang diketuai oleh 901756 Sarjan Joseph Meling anak Kilong ditugaskan menunggu ulangbekal di kawasan Sungai Kedup, Sarikei, Sarawak semasa kejadian ini berlaku.

Pada 28 Ogos 1971, ketika beliau dan rakan-rakannya cuba berteduh di sebuah pondok yang telah ditinggalkan mereka dengan tiba-tiba disambut dengan letupan jerangkap samar dan taburan peluru-peluru musuh. Renjer Unggek anak Atin terus membalas tembakan. Antara dengar dengan tidak pekikan ‘Agi Idup’ dari ketuanya Sarjan Meling, beliau menyahut dengan penuh semangat ‘Agi Ngelaban’ dan meluru kearah musuh yang sedang menembak ke arah kumpulanya.

Dengan penuh kecekalan sebagai seorang perajurit beliau menembak dan membunuh seorang dari musuh yang cuba melepaskan tembakan kearah rakan-rakannya. Keberanian yang ditunjukkan telah mengakibatkan 7 orang musuh termasuk seorang wanita telah dapat dibunuh oleh kumpulannya.

Renjer Unggek anak Atin PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Koperal setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.

929160 Koperal Paul Nyopis anak Noyeat


Pada 19 April 1972, 929160 Koperal Paul Nyopis anak Noyeat telah ditugaskan untuk mengiringi sekumpulan Pasukan Keselamatan bergerak dari Kuching ke Bau dengan menaiki kenderaan. Semasa pergerakan di kawasan Tandang, Bau, Saeawak, kumpulannya telah diserang hendap oleh sekumpulan musuh. Tanpa menghiraukan keselamatan diri, beliau dengan beraninya telah melakukan serangan tindakbalas keatas kedudukan musuh dan berjaya mengundurkan musuh dari serang hendap tersebut. Dalam pertempuran tersebut, 3 orang musuh telah berjaya ditumbangkan.

Koperal Paul Nyopis anak Noyeat PGB telah bersara dari Angkata Tentera dalam pangkat Koperal setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.

901742 Sarjan Indang anak Engkas


901742 Sarjan Indang anak Engkas dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja telah ditugaskan membuat rondaan untuk mencari dan memusnahkan musuh di kawasan Tanjung Kunyit, Paradom, Daerah Binatang, Sibu, Sarawak. Pada pagi 21 Mei 1972, semasa beliau dan kumpulannya sedang menjalankan misi mereka, kumpulannya bertembung dengan sekumpulan 7 orang musuh. Dalam pertempuran itu, beliau dan kumpulannya telah berjaya membunuh 2 daripadanya. Manakala 5 lagi telah dapat melarikan diri. Pencapaian membunuh dua orang musuh belum cukup memuaskan hatinya.

Beliau mengambil keputusan untuk terus menjejaki kesan-kesan pengunduran musuh. Setelah perancangan diatur, beliau dan kumpulannya terus mengikuti jejak-jejak musuh yang telah melarikan diri. Usaha beliau dan kumpulannya tidak sia-sia. Beberapa jam kemudiannya mereka berjaya menjumpai semula kumpulan tersebut yang sedang bersiap untuk berpengkalan semula. Tanpa membuang masa dan bagi memeranjatkan musuh sebelum bersedia, beliau terus mengatur serangan. Serangan yang dilakukan tidak semudah yang dsiangka. Mereka mendapat tentangan hebat dari musuh namun ianya sedikitpun tidak mengubah pendirian Sarjan Indang dan kumpulannya. Dengan semangat dan kegigihan akhirnya mereka berjaya membunuh kelima-lima orang musuh tersebut. Ini membuatkan kesemua tujuh orang musuh yang ditemuinya dapat dihapuskan.

Sarjan Indang anak Engkas PGB telah Bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Pegawai Waren Dua setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.


Kapten Robert Rizal bin Abdullah (200733)


Beliau berasal dari Kampung Lachau Dua, Simanggang, Sarawak. 10 Okt 1973 semasa melakukan misi penjejakkan di waktu malam pada 10 Okt 1973, Platun 12 telah berjaya membunuh 2 orang pengganas komunis. Susulan itu, Kapt Robert Rizal telah bergabung dengan Platun 12 untuk memulakan penjejakan dan pencarian musuh. Pada jam lebih kurang 0100, mereka menjumpai sebuah perkhemahan sementara musuh yang dianggarkan berkekuatan 30 - 40 orang. Setelah mengambil kedudukan pada jam 0615, Kapt Rizal memulakan serangan dengan tembakan dari senjatanya.

Serangan mengejut tersebut menyebabkan musuh menjadi kelam kabut dan cuba melarikan diri. Kapt Rizal dan anggotanya terus menyerbu dengan berani dan hasilnya mereka berjaya membunuh 7 orang pengganas, lapan laras senjata, sepucuk pistol, peluru serta kelengkapan-kelengkapan lain. Bagaimanapun, seorang anggota tentera telah terkorban dalam pertempuran tersebut. Beliau telah dikurniakan pingat pada 27 Dis 1973.

Kapten Robert Rizal bin Abdullah PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Leftenan Kolonel. 

929901 Kpl Ahmad bin Adnan


Beliau berasal dari Kg Separap, Mukim A, batu Pahat, Johor . Pada 11 Okt 1973, Kpl Ahmad bersama kumpulan Kapt Robert Rizal Abdullah membuat penjejakan dari siang hingga malam dan akhirnya menjumpai sebuah perkhemahan musuh. Dalam kegelapan malam, mereka merancang untuk melancarkan serangan pada jam 0615 ke atas perkhemahan musuh yang berkekuatan hampir 40 orang. Tembakan semburan dari senjata Kapt Robert Rizal memulakan pertempuran berkenaan.

Kpl Ahmad bertindak berani dengan menyerbu kearah kedudukan musuh sambil melepaskan tembakan dan memberi kata-kata semangat kepada anggota yang lain. Kumpulannya berjaya membunuh tujuh orang pengganas sementara seorang terkorban di pihak pasukan keselamatan. Beliau dikurniakan pingat pada 17 Jan 1974.

Koperal Ahmad bin Adnan kini telah bersara dari angkatan Tentera dalam pangkat Pegawai Waren Satu setelah berkhidmat lebih dari 21 tahun.

207770 Renjer Isa bin Hassan


Renjer Isa bin Hassan berkhidmat bersama Platun Keenam Kompeni B, Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja yang diketuai oleh Kapten Shanmuganathan a/l Arampoo di Operasi Indera pada awal Januari 1974.

Dalam operasi yang dijalankan di kawasan Sungai Liang, Pahang kumpulannya telah berjaya menjejak sebuah tempat rehat sementara musuh pada 11 Januari 1974. Beliau bersama rakan-rakan platunnya bersiap sedia melancarkan serangan serta merta keatas tempat rehat musuh yang mereka jumpai. Renjer Isa dengan beraninya mara dibarisan hadapan dalam serangan tersebut dengan niat berkobar-kobar menghapuskan semua musuh-musuh yang ada. Beliau telah melepaskan tembakan demi tembakan dan mara dari satu perlindungan ke satu perlindungan.

Disamping itu beliau juga memberi tembakan perlindungan kepada ketua platunnya untuk terus mara. Semangat yang telah beliau tunjukkan telah memberi semangat dan dorongan kepada rakan-rakannya yang lain untuk terus bertempur. Bagaimanapun sebutir peluru musuh telah mengenai tubuhnya semasa beliau cuba memberi perlindungan kepada Kapt Shanmuganathan yang terkena tembakan.

Beliau dan Kapten Shanmuganathan gugur pada pertempuran berkenaan. Pingat PGB dikurniakan kepada beliau pada 4 Jun 1975.

Leftenan Muda Mohamad Basri bin Din (411040)


Leftenan Muda Mohamad Basri bin Din dari Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja telah terlibat dalam dua pertempuran. Pertama di Operasi Indera 1 pada tahun 1973 dan kali keduanya di Operasi Indera IV pada November 1974.

Dalam Operasi Indera IV beliau sebagai Ketua Platun, telah berjaya membunuh seorang Pengganas Komunis dalam satu serang hendap. Sungguhpun pada pertempuran pertama di Operasi Indera tidak mendatangkan sebarang hasil namun Leftenan Muda Basri telah menunjukkan keberaniannya dan kebolehannya dalam memimpin dan merancang untuk memusnahkan musuh.

Dalam Kedua-dua pertempuran yang dilaluinya, beliau telah menunjukkan sikap keberanian dan kecekalan hati sebagai seorang pemimpin dan seorang perajurit.
Leftenan Muda Mohamad Basri bin Din PGB menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia dengan pangkat Mejar.

931679 Lans Koperal Beliang anak Bali


Lans Koperal Beliang anak Bali adalah seorang anggota Platun Khas Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja dibawah pimpinan 929390 Sarjan Gandat anak Merdan apabila mereka ditugaskan untuk mengesan pergerakan musuh di kawasan Lundu, Sarawak.

Dalam menyempurnakan misi mereka, Sarjan Gandat telah mengarahkan Lans Koperal Beliang membawa bersamanya dua anggota untuk mengesan satu jejak musuh yang baru dijumpai manakala beliau bersama angota-angotanya yang lain mengikuti jejak yang berasingan. Setelah mengikuti sejauh lebih kurang 80 meter, Lans Koperal Beliang telah melihat sekumpulan musuh berpakaian hutan dan bersenjata. Pada mulanya beliau menyangkakan kumpulan tersebut adalah Tentera Nasional Indonesia. Setelah dimatainya, beliau mengesahkan bahawa apa yang dilihatnya adalah anggota-anggota yang bertopi bucu berbintang merah. Beliau pasti yang dilihatnya adalah kumpulan penganas lalu memberi isyarat kepad kedua-dua rakannya. Dengan penuh keberanian dan kepercayaan kepada dirinya, beliau terus melepaskan tembakan kearah kumpulan tersebut. Beliau yakin seorang dari musuh telah dan kedengaran rebah ketanah. Namun musuh tidak berdiam diri. Sebaliknya mereka membalas tembakan dan cuba menyerbu kearahnya. Menyedari kumpulan musuh adalah empat kali ganda besarnya dari kumpulan beliau, Lans Koperal Beliang tidak kehilangan akal. Dengan daya muslihat beliau telah memberi arahan-arahan dengan suara yang lantang seolah-olah beliau sedang memimpin satu kumpulan yang lebih besar disambut dengan peluru-peluru dari senjata dua rakannya. Tipu muslihatnya dapat memperdayakan musuh yang menganggap bahawa mereka menghadapi satu kumpulan besar dan mereka bergegas undur dari dari kawasan tersebut.

Sarjan Gantai dan kumpulannya setelah mendengar tembakan terus meluru untuk memberi bantuan kepada Lans Koperal Beliang. Namun apabila mereka sampai musuh telah berundur dan hari pula mulai gelap. Penggelidahan dan penjejakan seterusnya tidak dapat dilakukan. Walaupun dalam keadaan gelap Lans Koperal Beliang masih ingin memastikan tembakanya pada petang tadi samaada membuahkan hasil. Beliau merangkak kearah tembakan dimana beliau mendengar musuh yang ditembaknya jatuh dan mendapati satu mayat terbujur.

Dari dokumen-dokumen yang dijumpai dari musuh yang mati, mereka mendapat tahu bahawa musuh yang dibunuh oleh Lans Koperal Beliang adalah seorang ketua kumpulan pengganas yang bergerak giat di kawasan Lundu.

Lans Koperal Beliang anak Bali PGB telah menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera dengan pangkat Pegawai Waren satu.

1028934 Prebet Lellias bin Ibrahim


Beliau berasal dari Batu Kurau, Taiping, Perak. Pada 15 Ogos 1976 semasa membuat tugas rondaan bersama lima anggota yang lain di Kawasan Lebuhraya Timur Barat. Pbt Lelias dan kumpulannya diserang hendap oleh sekumpulan musuh berkekuatan lebih kurang 30 orang. Keadaan musuh yang berada di atas bukit memberi kelebihan kepada mereka untuk menguasai pertempuran. Tetapi Pbt Lelias tetap mempamerkan semangat keberanian yang tinggi dengan mengambil perlindungan dan menembak seorang demi seorang musuh yang cuba menghampiri tempat perlindungannya.

Beliau menggunakan kepintarannya membalas tembakan musuh dengan tepat dan berjaya menembak mati tiga orang pengganas dengan hanya menggunakan lima butir peluru. Dua rakannya terkorban manakala seorang lagi cedera parah dalam pertempuran tersebut. Beliau dikurniakan pingat pada 29 Ogos 1977.

Prebet Lellias bin Ibrahim sebelumnya adalah anggota kerahan yang berkhidmat dengan Batalion Keempatbelas Rejimen Askar Wataniah. Apabila batalion tesebut diserap sebagai Batalon Kesembilan Rejimen Renjer Diraja beliau juga turut menjadi anggota batalion tersebut. Beliau masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera dan sekarang berpangkat Pegawai Waren Dua.

Leftenan Muda Panirchellvam a/l Valaithan (370480)


Beliau berasal dari Kulim, Kedah. Pada 14 Feb 1977, Lt M Panir bersama empat anggota telah terlibat dalam serang hendap pengganas komunis yang dipercayai akan mengambil bekalan makanan dari penyokong mereka. Dalam pertempuran ketika serang hendap berkenaan, kumpulannya telah berjaya membunuh seorang pengganas. Penggeledahan yang dilakukan pada keesokkan paginya menemui lagi seorang pengganas yang tercedera.

Lt M Panir mengarahkan anggotanya supaya tidak membunuh pengganas tersebut, sebaliknya ditawan untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti mereka dikawasan tersebut.

Hasil pertempuran itu, 2 laras senjata bersama peluru, bom tangan dan enam beg galas berjaya dirampas. Beliau menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Kapten dan dikurniakan pingat pada 7 Jun 1978.

Temenggong Datuk Kanang anak Langkau


Dalam satu gerakan di kawasan Hutan Simpan Korbu Fort Legap pada 1 Jun 1979 semasa dalam misi menjejak kedudukan musuh, kumpulan Sarjan Kanang telah bertembung dengan sebuah tempat rehat sementara musuh. Sarjan Kanang anak Langkau dari Batalion Kelapan Rejimen telah melancarkan serangan dan menggempur pasukan pengganas yang berkekuatan melebihi dari kumpulannya. Akibat dari pertempuran tersebut 2 anggotanya telah gugur namun dengan ketangkasan dan kepimpinan beliau dan kumpulannya telah berjaya membunuh seramai 3 orang musuh dan merampas peralatan dan kelengkapan musuh.

Dalam satu gerakan yang lain, ekoran serang hendap pengganas keatas satu seksyen dari Batalion Keduapuluh Lima Rejimen Askar Melayu Diraja di Ladang Kending, Sungai Siput, Perak, Sdarjan Kanang telah berjaya mengesan dan menjejak pergerakan musuh tersebut. Dalam beberapa siri pertempuran yang terjadi beberapa anggotanya telah mengalami kecederaan. Namun semua ini tidak pernah melunturkan semangat keperwiraannya. Pada 19 Februari 1980 semasa membuat rondaan di kawasan Sungai Larak sekali lagi beliau dan kumpulannya telah diserang hendap oleh musuh. Ketika hendak menyelamatkan rakan-rakannya yang cedera parah Sarjan Kanang telah ditembak bertubi-tubi oleh musuh mengakibatkan beliau ditembusi oleh tiga butir peluru. Namun dengan kekuatan dan semangat untuk hidup beliau telah dapat diselamatkan walaupun mengalami kecederaan yang parah.

Sarjan Kanang juga telah dianugerahkan pingat PGB pada 7 Jun 1987 dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 3 Jun 1981. Sarjan Kanang anak Langkau SP PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dalam pangkat Pegawai Waren Satu setelah berkhidmat melebihi 21 tahun.

931729 Koperal Micheal Riman anak Bugat


Koperal Micheal Riman anak Bugat adalah salah seorang Ketua Seksyen Platun Risek Gempur Batalion Kelapan Rejimen Renjer yang diketuai oleh 901738 Sarjan Kanag anak Langkau di Operasi Setia Lapan pada Mei/Jun 1979. Beliau juga bertindak sebagai pembantu kanan kepada Platun Sarjannya yang ketiadaan Ketua Platun. Pada 1 Jun 1979 mereka telah berjaya menjejak kesan-kesan musuh sehingga bertembung dengan sebuah tempat rehat musuh. Dalam pertempuran tersebut walaupun mereka dihujani dengan tembakan-tembakan musuh Koperal Micheal Riman dengan penuh berani terus menyerang dan merempuh kearah musuh.

Bagaimanapun beberapa butir peluru telah mengenai dan mencederakannya. Di atas sikap keberanian yang ditunjukkannya, beliau dan kumpulannya telah dapat membunuh seramai lima orang musuh. Pertempuran tersebut juga telah meragut nyawa seorang anggota kumpulannya dan beliau sendiri mendapat kecederaan parah dibahagian lengan.

Koperal Micheal Riman anak Jugat PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dengan memegang pangat Mejar.

Mendiang Kapt Shanmuganathan al E.Rampoo


Beliau berasal dari Tanjung Malim, Perak .Pada 11 Jan 1974, seramai 22 anggota Platun 6 Kompeni B, 5 renjer pimpinan beliau berjaya mengesan perkhemahan pengganas komunis di atas sebuah bukt di kawasan Sungai Liang, Raub, Pahang. Setelah membuat perancangan, beliau memimpin platunnya melancarkan serangan.

Kapt Shanmuganathan menunjukkan keberanian yang luar biasa apabila sanggup mengambil risiko meneruskan pendakian ke arah khemah musuh walaupun dihujani peluru yang bertali arus diatas bukit. Dalam usaha tersebut, sebutir peluru singgah ke tubuh beliau sehingga mengakibatkan beliau rebah serta merta ke tanah. Melihat keadaan tersebut, Rjr Mat Isa telah meluru dan berusaha menarik tubuh beliau ke tempat selamat namun hujanan peluru musuh yang semakin menggila mengakibatkan beliau Rjr Mat Isa menggunakan tubuhnya sendiri sebagai perisai bagi melindungi Kapt Shanmuganathan dari terus dimamah peluru.

Kapt Shanmuganathan dan Rjr Mat Isa akhirnya terbunuh dalam pertempuran tragis ini. Kapt Shanmuganathan dikurniakan pingat pada 4 Jun 1975.

Koperal Micheal Riman anak Jugat PGB telah bersara dari Angkatan Tentera dengan memegang pangat Mejar.

Last Updated on Monday, 12 November 2012 08:19
 
Banner
Copyright © 2014 Portal Rasmi Rejimen Renjer DiRaja. All Rights Reserved.
Urusetia Rejimen Renjer Diraja, Jabatan Arah Infantri, Markas Tentera Darat, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, 50634 Kuala Lumpur

Bancian

Nilai Laman Ini
 

Statistik

Pautan Luar